KUALA LUMPUR, 23 Ogos — Kes harian COVID-19 dalam negara hari ini terus menunjukkan penurunan apabila sebanyak 17,672 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Semalam Malaysia mencatat 19,807 kes baharu manakala pada Sabtu 22,262 kes.
Menerusi perkongsian data terkini jangkitan COVID-19 di laman Facebooknya, Dr Noor Hisham berkata dengan pertambahan kes hari ini, jumlah kumulatif COVID-19 di negara ini kini 1,572,765.
Beliau berkata walaupun Selangor masih mencatat jumlah kes paling tinggi, bilangan kes di negeri itu menunjukkan penurunan dengan 4,316 kes baharu dilapor dalam tempoh 24 jam lepas berbanding lebih 5,000 kes sebelum ini.
Negeri-negeri lain yang mencatat kes melebihi 1,000 adalah Sabah (2,474), Kedah (1,602), Sarawak (1,538), Pulau Pinang (1,451), Johor (1,367) dan Kelantan (1,176).
Perak pula mencatat 952 kes, Kuala Lumpur (891), Pahang (506), Negeri Sembilan (478), Terengganu (470), Melaka (363), Perlis (57), Putrajaya (24) dan Labuan (tujuh).
— BERNAMA
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.