KUALA LUMPUR: Isu kesesakan luar biasa di Pusat Pemberian Vaksian (PPV) berulang lagi.
Terbaharu, tular dalam media sosial mengenai tindakan orang ramai yang bersesak-sesak tanpa mengamalkan penjarakan sosial ketika mereka hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di PPV Evo Mall, Bangi, Selangor.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata berdasarkan maklumat awal, pihaknya mendapati lebih 3,000 orang ‘menyerbu’ PPV tersebut kira-kira jam 9.00 pagi tadi.
“Orang ramai datang secara walk in sehingga keadaan tidak terkawal. Bagaimanapun, menjelang jam 12.00 tengah hari, keadaan kembali teratur dengan bantuan daripada anggota dari Balai Polis Bandar Baru Bangi yang dikerah mengawal PPV berkenaan,” beliau menyebut dalam kenyataan media di sini pada hari ini.
Menurut Mohd Zaid, bakal penerima vaksin yang menyerbu PPV itu pada pagi tadi terdiri daripada penduduk tempatan dan pekerja asing.
“PPV berkenaan telah beroperasi sejak Jun lepas dan ini adalah kali pertama kejadian seperti itu berlaku,” katanya.
Pada awal bulan ini, tular video yang memaparkan kesesakan di Rumah Prihatin Grand Season, Kuala Lumpur dan PPV Bukit Jalil sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Bakal penerima vaksin dilihat tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) apabila mereka tidak mengamalkan penjaran fizikal, malah beratur pada jarak terlalu dekat antara satu sama lain.
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.