KAPIT: Himpunan kayu balak sekali lagi berlaku di Sungai Baleh di sini, dan ia dikhuatiri akan mengakibat kesan yang lebih teruk daripada insiden pada 2010, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing.
Menerusi perkongsian dalam Facebooknya, Masing berkata hal itu tidak mustahil terjadi ekoran aliran air sungai yang kini disekat oleh pembangunan Empangan Baleh.
“Pengusaha projek hidroelektrik (HEP) umumnya tahu bahawa aktiviti pembalakan di lembangan HEP akan menyebabkan pengelodakan, justeru memendekkan jangka hayat empangan,” katanya yang tidak senang hati dengan kejadian itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri Baleh itu percaya aktiviti pembalakan di kawasan hulu Sungai Baleh adalah punca bagi masalah tersebut.
“Untuk menghentikan himpunan kayu balak ini daripada berlaku sekali lagi, tolong jangan perbaharui lesen pembalakan syarikat konsesi pembalakan untuk menjalankan operasi di hulu Batang Baleh,” tegasnya.