KUALA LUMPUR: Perdana Menteri baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluahkan rasa bersyukur berhubung kelancaran Majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Simpan Rahsia yang berlangsung di Istana Negara pada hari ini.
Pada masa yang sama, beliau turut menjunjung kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk melantiknya sebagai Perdana Menteri.
“Terima kasih juga kepada kesemua Ahli Dewan Rakyat atas sokongan dan kepercayaan mereka. InsyaAllah, saya akan menjalankan tugas ini untuk Malaysia,” katanya menerusi catatan di Facebooknya sebentar tadi.
Terdahulu, beliau tiba di Istana Negara kira–kira jam 2.00 petang menerusi pintu dua bagi istiadat berkenaan yang berlangsung di Balai Singgahsana Kecil sekitar jam 2.28 petang.
Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Majlis turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Hakim Negara Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.
Majlis angkat sumpah ini turut menyaksikan kehadiran bekas dua Perdana Menteri, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam kalangan pemimpin politik pula, antara yang kelihatan termasuklah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Pada majlis berkenaan, Ismail Sabri turut ditemani isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin, anak-anak serta menantunya.
Ismail Sabri, 61 tahun, mencatat sejarah sebagai Naib Presiden UMNO pertama yang dilantik untuk menjadi Perdana Menteri.
Beliau, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang–undang dari Universiti Malaya, memulakan karier politik pada 1987.
Ismail Sabri sebelum ini pernah diberi tanggungjawab sebagai Menteri Belia dan Sukan pada 2008, dan kira-kira setahun selepas itu, beliau menggalas tugas sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Seterusnya, beliau diberi pula kepercayaan untuk mengemudi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, selain menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Menerusi kerjasama dengan Bersatu, PAS dan GPS serta beberapa parti lain sehingga tertubuhnya Perikatan Nasional (BN), Ismail Sabri dilantik sebagai Menteri Kanan Pertahanan sebelum menjadi Timbalan Perdana Menteri pada Julai lepas.
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.