KUCHING: Reaksi dan nada kritikan para pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sarawak dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang memberi gambaran resah serta kecewa terhadap keputusan yang tidak memihak kepada mereka memang sudah dijangkakan.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Abdullah Saidol berkata, kemelut politik pada peringkat persekutuan sebenarnya dimulakan dan diketuai Parti Tindakan Demokratik (DAP) sendiri sejak mereka kehilangan kuasa.
“Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen harus diingatkan tentang kegagalan besar Pakatan Harapan (PH) serta kesalahan mereka sendiri terhadap negara dan Sarawak semasa mereka mentadbir Kerajaan Persekutuan selama 22 bulan.
“Chong sebenarnya cuba mengelirukan rakyat dan memutar belit keadaan sebenar kerana terdesak untuk menutup kesilapan dan kecuaian mereka sendiri,” tegasnya.
Abdullah berkata demikian ketika mengulas tentang kenyataan Chong yang mendakwa Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah melakukan beberapa kesilapan, antaranya menghalang Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal daripada dilantik sebagai Perdana Menteri (PM).
Abdullah menegaskan, ia harus juga disedari bahawa GPS tidak pernah terlibat secara langsung atau tidak dengan sebarang tindakan yang menyebabkan atau memaksa Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletak jawatan sehinggakan pelantikan PM baharu terpaksa dilaksanakan.
“Serangan bermotif politik berterusan dipamerkan oleh PH terhadap Muhyiddin Yassin serta kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ketika itu sedang sibuk mengurus situasi pandemik negara dan kebajikan rakyat.
“DAP begitu lantang dan konsisten dengan serangan politik berasaskan naratif bahawa kerajaan PN adalah kerajaan yang gagal bagi tujuan menjatuhkan Muhyiddin Yassin,” ujarnya.
Abdullah menambah, perlu juga diingatkan bahawa PH begitu cepat menolak tawaran Muhyiddin Yassin untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan dan melaksanakan beberapa pembaharuan yang sebenarnya diperjuangkan oleh PH dahulu.
“Apabila Muhyiddin Yassin meletak jawatan, maka bermulalah perebutan untuk menjadi PM di mana PH begitu yakin dan percaya bahawa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan yang cukup untuk menuntut kedudukan sebagai PM baharu.
“Malangnya, percaturan politik mereka terbukti salah, dan DAP sebagai ‘ejen provokator’ utama dalam usaha untuk menjatuhkan PN berakhir dengan tangan kosong,” katanya.
Justeru, DAP dan PH Sarawak tidak sepatutnya menyalahkan GPS kerana kegagalan itu adalah hasil daripada perbuatan mereka sendiri.
Sementara itu, Abdullah turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikannya sebagai PM kesembilan.
“Kita sama-sama berharap beliau akan melakukan tugas dengan lebih baik dan cekap serta bertahan lama.
“Buat sementara waktu, berilah ruang dan masa untuk beliau dengan segera mengatur semula perancangan pentadbiran yang lebih efisien dan berkesan, terutamanya yang berkaitan dengan usaha memerangi pandemik serta melindungi kesihatan dan kebajikan rakyat,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar Sarawak dapat diwakili dengan baik dalam barisan Kabinet kerajaan baharu yang bakal diumumkan kelak.