KUCHING: Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fazzrudin Abdul Rahman menyelar tuduhan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Selangau Baru Bian terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan menegaskan Baru sepatutnya mencermin diri sendiri terlebih dahulu.
“Baru Bian seharusnya cermin diri terlebih dahulu betapa beliau sendiri telah banyak membatalkan banyak projek pembangunan untuk Sarawak sepanjang 19 bulan menjadi Menteri Kerja Raya (2 Julai 2018 – 24 Februari 2020).
“Antaranya beliau telah membatalkan projek infrastruktur besar untuk Sarawak, termasuk Jambatan Batang Lupar, Jambatan Igan dan Jambatan Rambungan, yang kini diteruskan sendiri oleh Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” beliau menyebut dalam satu kenyataan susulan tuduhan terdesak Baru yang menyatakan pelantikan Ismail Sabri akan menjauhkan pelaburan asing.
Malah, Baru turut menyatakan pelantikan Ismail Sabri tidak akan memberi harapan kepada rakyat Malaysia.
Fazzrudin menegaskan tindakan Baru menghakimi Ismail Sabri sebelum beliau melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri menampakkan kedangkalan Baru sendiri yang enggan menerima hakikat kegagalan Pakatan Harapan (PH) untuk kembali menerajui kerajaan.
“Baru Bian juga mungkin lupa beliau sendiri adalah di antara 27 orang anggota yang telah dibuang dari PKR selepas pengkhianatan terhadap Kerajaan PH sebelum ini dan tindakannya kini seolah-olah menjilat ludah sendiri,” ujarnya.
Fazzrudin berkata, Baru juga menuduh Ismail Sabri sebagai tidak mampu melakukan apa-apa kerana beliau berada di bawah tekanan Bersatu, yang memegang keseimbangan kuasa semasa pemerintahan sebelumnya.
Beliau menambah, tuduhan tersebut tidak berasas sama sekali dan bermotifkan politik semata-mata.
“Sokongan padu Bersatu terhadap pelantikan Ismail Sabri membuktikan parti-parti politik dalam Perikatan Nasional (PN) sebelum ini sanggup mengetepikan politik dan mahukan usaha menangani pandemik COVID-19 menjadi keutamaan ketika ini.
“Kerajaan PN sebelum ini telah melakukan yang terbaik sehinggakan program imunisasi juga menunjukkan perkembangan yang amat positif,” katanya.
Lebih banyak bantuan untuk rakyat disalurkan sepanjang kerajaan PN berbanding ketika zaman pemerintahan kerajaan PH yang terbukti gagal, kata Fazzrudin.
Justeru, semua pihak seharusnya memberi peluang dahulu kepada Ismail Sabri yang telah mendapat mandat majoriti Ahli Parlimen untuk membuktikan kemampuannya.