Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Waris anggota TUDM yang maut terima beberapa sumbangan JKM

ByOdleen Catherny

BAU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyampaikan sumbangan dalam berbagai bentuk kepada Shima Mustapha, 29. iaitu balu Allahyarham Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, pada pagi tadi.

Allahyarham terkorban dalam satu insiden tembakan di Kem Skuadron 330 TUDM Kota Samarahan pada Jumaat lepas.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, sumbangan yang diberikan adalah Tabung Bantuan Segera (TBS) sebanyak RM300 yang diberi sekali sahaja, bantuan bulanan kanak-kanak sebanyak RM600 sebulan bermula September 2021, bantuan makanan termasuk beras dan makanan kering, selain bantuan susu dan lampin bayi untuk dua orang anak mereka.

“Kita juga telah berbincang dengan balu allahyarham untuk mengisi borang bantuan skim Endowment Fund Sarawak (EFS) sebanyak RM1,000 bagi anak allahyarham yang bongsu berusia dua bulan.

“Ia sebagai simpanan pendidikan untuk anaknya, dan boleh dikeluarkan apabila anaknya mencapai usia 18 tahun,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika beliau melakukan kunjungan ke rumah Shima di Bau pada hari ini.

Datuk Seri Fatimah Abdullah mengunjungi Shima Mustapha, balu Allahyarham Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli.

Fatimah menambah, pihaknya juga akan menguruskan Bantuan Ibu Bersalin sebanyak RM450 kepada balu allahyarham memandangkan beliau baharu sahaja sebulan melahirkan anak.

JKM juga bersedia menawarkan khidmat kaunseling dan bantuan lain sekiranya diperlukan oleh waris dan anak-anaknya.

“Selain melihat bantuan kewangan serta bantuan segera lain, kita juga bersedia memberi bantuan dari segi emosi iaitu proses kaunseling. Sememangnya kaunseling dari pihak TUDM juga disediakan dan disampaikan oleh kaunselor TUDM sendiri, tetapi kami di JKM juga mempunyai kaunselor. Balu allahyarham (Sharif) boleh berhubung dengan kami pada bila-bila masa yang dirasakan perlu,” kata Fatimah.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak, masing-masing berusia lima tahun, tiga tahun dan 1 bulan.

Pada Jumaat lalu, 13 Ogos 2021, allahyarham disahkan meninggal dunia di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), dua jam selepas allahyarham ditembak oleh seorang rakan setugasnya.

Tiga anggota lain maut di tempat kejadian, iaitu Koperal Udara Ho Swee Boon, Koperal Udara Mohamad Ehsan Sehamat dan Laskar Udara Kanan Nesly Nabau.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan