KUCHING: ‘Dine-In’ atau makan dalam premis makanan kini tidak dibenarkan selama seminggu dalam Zon Selatan Sarawak yang meliputi Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak membuat keputusan itu susulan peningkatan kes COVID-19 pada hari ini.
Antara Prosedur Operasi Standard (SOP) lain yang diperketatkan termasuk memendekkan tempoh operasi perniagaan bermula 5.00 pagi hingga 8.00 malam, dan tidak membenarkan mana-mana individu atau kumpulan berada di tempat awam selepas jam 10.00 malam tanpa alasan munasabah.
SOP ini akan mula berkuatkuasa pada 22 Ogos hingga 29 Ogos.
Sementara itu, jumlah kes harian baharu COVID-19 di Sarawak buat pertama kalinya melepasi angka 2,000 apabila 2,548 kes dicatatkan pada hari ini.
Ini sekali gus menjadikannya angka harian tertinggi direkodkan sejak pandemik COVID-19 melanda negara pada tahun lepas.
Kuching merekodkan kes harian tertinggi, iaitu 1,601 kes, diikuti Serian dengan 240 kes, Bau dengan 131 kes, dan Samarahan dengan 116 kes.
Jumlah kumulatif kes positif di Sarawak kini mencecah 94,564 kes.