KUALA LUMPUR, 20 Ogos — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggalakkan peniaga menjual minyak masak sawit tulen botol pada harga lebih rendah daripada harga maksimum ditetapkan.
Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Shamsul Nizam Khalil memaklumkan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen dibungkus dalam botol 1 kilogram (kg), 2 kg, 3 kg dan 5 kg telah dikuat kuasa di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2021 bermula 1 Ogos lepas.
Harga runcit maksimum bagi minyak masak tulen dibungkus botol ditetapkan adalah pada RM6.70 (1 kg), RM12.70 (2 kg), RM18.70 (3 kg) dan RM29.70 (5 kg).
“Ia tidak menghalang mana-mana peniaga untuk menjual pada harga lebih rendah daripada harga ditetapkan sepanjang pelaksanaan penguatkuasaan harga maksimum runcit minyak masak sawit tulen botol,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan dan pemantauan pada 1 hingga 18 Ogos di 8,885 premis runcit seluruh negara mendapati 7,779 premis patuh menjual minyak masak sawit tulen botol pada harga maksimum ditetapkan manakala 1,082 premis menjual pada harga lebih rendah dan 24 premis dikenakan kompaun atas kesalahan menjual melebihi harga maksimum.
Shamsul Nizam berkata penguatkuasaan harga runcit maksimum dilaksanakan sebagai komitmen kerajaan supaya rakyat dapat menikmati minyak masak sawit tulen botol pada harga subsidi seterusnya meringankan beban kos sara hidup susulan peningkatan harga minyak sawit mentah sepanjang tahun ini.
Pengguna juga digalakkan menyalur maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang khususnya melibatkan harga runcit minyak masak sawit tulen di pasaran melalui saluran Portal e-aduan.kpdnhep; pusat panggilan di talian 1-800-886-800; E-mel ke e-aduan@kpdnhep.gov.my; Ez ADU KPDNHEP dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 atau menerusi aplikasi Whatsapp di talian 019-279 4317.
— BERNAMA
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.