KUCHING: Persatuan Gabungan Jurutera Perunding Bumiputera Sarawak menyarankan agar penglibatan jurutera bumiputera dipertingkatkan lagi untuk membantu kerajaan dalam pelaksanaan projek pembangunan di seluruh negeri ini.
Pengerusinya, Ir Talha Affendi berkata, ini kerana jurutera bumiputera mempunyai keupayaan untuk melaksanakan projek-projek berimpak tinggi seperti yang disarankan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Jadi tiada alasan, di mana banyak projek berimpak tinggi kita mampu laksanakan sebelum ini. Jadi jika kita lebihkan program untuk jurutera bumiputera ia dapat memberi pengalaman, dan satu masa nanti mereka boleh mengendalikannya,” katanya di sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia pada hari ini.
Rombongan persatuan itu juga telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada tabung bencana COVID-19 Sarawak.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menerima kunjungan daripada rombongan Koperasi Perkumpulan Wanita Sarawak Berhad (KOPERWANIS) yang diketuai pengerusinya, Norjanah Razali.
Kunjungan itu bertujuan untuk memperkenalkan ahli-ahli jawatankuasa KOPERWANIS selain memberi maklum tentang program perniagaan dan pusat latihan badan induk itu.