Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Dua anggota Abu Sayyaf mati ditembak rancang culik pemilik ladang

SANDAKAN, 20 Ogos — Dua anggota Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) mati ditembak pasukan keselamatan di sebuah ladang kelapa sawit di Pulau Timbang, kira-kira 6 kilometer dari sini awal pagi tadi, yang merancang untuk menculik pemilik ladang itu untuk mendapatkan wang tebusan (KFR).

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata rancangan mereka itu digagalkan apabila ia didedahkan oleh seorang ketua kumpulan kecil ASG Sansibar Bencio yang ditahan di Taman Sri Arjuna, Beaufort pada Mei lepas, ketika siasatan dilakukan.

“Operasi ini dilancarkan selepas Bencio mendedahkan bahawa dia telah mengarahkan dua anggota yang ditembak itu untuk menculik dua pemilik ladang kelapa sawit berketurunan Cina yang tinggal di Sandakan dan Sukau (Kinabatangan) untuk mendapatkan wang tebusan.

“Tindakan itu bagi memberi dana kepada kumpulan di markas timur Sulu di Kompleks Bud Bawis, Panamao, Sulu, Selatan Filipina,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hazani berkata dua anggota militan yang maut itu dikenali sebagai Rakim Landasan dan Alnasir Landasan berumur antara 30 dan 40 tahun, ditembak mati kira-kira 5 pagi dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan di ladang berkenaan.

Sepucuk pistol A Colt .45, yang biasa digunakan di Filipina dan sebilah parang ditemukan bersama pengganas yang maut itu, katanya.

Beliau berkata operasi itu adalah susulan daripada serbuan di ladang terbabit dua hari sebelumnya (18 Ogos), yang membawa kepada tangkapan 11 lelaki, tujuh daripadanya disahkan oleh pihak berkuasa Filipina sebagai anggota ASG.

“Pada serbuan itu, dipercayai beberapa lelaki telah melarikan diri dan usaha mengesan mereka disambung semula keesokannya (19 Ogos),” katanya.

Hazani berkata operasi itu dijalankan dengan bantuan antaranya pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Angkatan Tentera Malaysia.

Tanpa mendedahkan maklumat lebih lanjut, beliau berkata polis mempunyai maklumat risikan mengenai lokasi saki-baki anggota ASG yang mungkin bersembunyi di negeri ini yang menurut kumpulan itu, mereka percaya Sabah adalah ‘safe haven’ (tempat perlindungan yang selamat) untuk mereka daripada dikesan pihak berkuasa.

“Saya menegaskan bahawa Sabah bukan ‘safe haven’ untuk ASG. Saya mahu membuang persepsi itu. Kami (polis) tidak akan berhenti mengesan mereka,” katanya.

Hazani turut mengingatkan majikan termasuk pemilik ladang kelapa sawit dan pengurus pembinaan, untuk memastikan pekerja mereka mempunyai dokumen yang sah bagi mengelakkan mengambil pengganas sebagai pekerja.

— BERNAMA

Ikuti TVS di TelegramFacebook, TwitterInstagramTikTok dan YouTube.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan