Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Nelayan hilang dikhuatiri disambar petir di perairan Pulau Dinawan

KOTA KINABALU, 19 Ogos — Seorang nelayan dilaporkan hilang dikhuatiri disambar petir di perairan Pulau Dinawan, Kinarut dekat sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata mangsa, Mohd Nasir Abdul Nasir, 62, dan anaknya Abdullah Mohd Nasir, 20, keluar pada 5.30 pagi dengan menaiki bot pam berasingan bagi menangkap ikan di perairan pulau itu.

“Bagaimanapun, sehingga petang anak-beranak ini dilaporkan masih tidak balik, selepas itu nelayan tempatan menjumpai Abdullah disyaki disambar petir di sekitar perairan itu dan dibawa ke Hospital Papar, namun disahkan meninggal dunia pada 7 malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rosli berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama agensi keselamatan lain termasuk bomba, polis dan Tentera Laut Diraja Malaysia telah mengatur gerak aset sejak semalam bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang masih hilang.

“Kita aktifkan Operasi CARILAMAT mangsa sejak malam tadi dan masuk hari kedua ini kita meluaskan pencarian hingga 50 batu nautika persegi dan setakat ini masih belum menemukan tanda-tanda atau petunjuk positif berkaitan Mohd Nasri di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau menasihatkan orang awam khususnya komuniti maritim agar sentiasa berwaspada semasa melakukan aktiviti di laut termasuk peka dengan keadaan cuaca, memakai jaket keselamatan, membawa alat pengesan lokasi serta memaklumkan kepada keluarga atau sahabat berkaitan destinasi dituju.

Mohd Rosli berkata orang awam diharap dapat melaporkan segera sebarang kecemasan atau maklumat berkaitan penyeludupan serta bom ikan yang berlaku di perairan di sini dengan menghubungi talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah 088-387774 atau MERS 999.

— BERNAMA

Ikuti TVS di TelegramFacebook, TwitterInstagramTikTok dan YouTube.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan