KUCHING: CUEPACS Sarawak menyokong penangguhan sesi persekolahan secara bersemuka sehingga Oktober lebih-lebih lagi setelah melihat kepada keadaan semasa di Sarawak terutama di Zon Selatan.
Pengerusinya Omar Bahrein Unin berkata, kes harian yang dilihat semakin meningkat menjangkaui 600 kes adalah amat membimbangkan.
“Penularan COVID-19 di zon ini telah merebak hampir di semua daerah dan kampung-kampung yang jauh dan berselerak.
“Penularan COVID-19 varian Delta yang diketahui boleh merebak dengan cepat juga amat ditakuti kerana kebanyakan kes ini merebak di zon Selatan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, keadaan tersebut bukan sahaja membimbangkan para pelajar tetapi juga kepada penduduk di zon terlibat secara umumnya.
“Bagi zon tengah dan utara pula, walaupun keadaan penularan agak terkawal namun kami berpendapat adalah baik juga jika pembukaan sekolah secara bersemuka turut ditangguh untuk mengelak keadaan yang sukar diduga terutama penularan boleh berlaku dengan cepat dalam kalangan jumlah murid-murid sekolah yang banyak dalam satu-satu masa,” ujarnya.
Namun, jika keadaannya dilihat stabil, ia ada terserah kepada pihak kerajaan untuk menentukan langkah seterusnya.
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.