SIBU: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) disaran untuk tampil dengan cara meningkatkan keyakinan golongan muda dalam pengucapan awam.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Abdullah Saidol berkata terdapat ramai anak muda di Sarawak mempunyai bakat serta kreativiti dan inovasi.
Justeru katanya penguasaan dalam pengucapan awam amat penting ke arah membina keyakinan tinggi dalam mengetengahkan produk mereka.
“Dalam perniagaan, pemasaran dan pengucapan awam telah menjadi cabaran bagi anak-anak muda ini terutama ketika anda harus berdiri di tengah pentas dan ada semua pelabur di depan anda,” ujarnya ketika berucap pada majlis Penyerahan Kotak Peralatan Think and Thinker (T&T) Mini Lab kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Rahmah di sini, hari ini.
Beliau yang juga setiausaha TEGAS “Mereka ingin menjual produk mereka dan mereka tahu produk mereka dapat dijual dan boleh dipasarkan, tetapi mereka tidak tahu bagaimana cara mempersembahkannya. Ia umpama semua orang tahu membaca, semua orang memahami apa yang anda baca, tetapi masalahnya bermula apabila anda diminta untuk menjelaskan apa yang anda baca.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata membina keyakinan diri sangat penting dalam proses perkembangan diri.
Menurutnya, TEGAS pada asasnya ditubuhkan bagi mempromosikan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional. Peranan itu kemudian diperluaskan ke arah mempromosikan inovasi dan teknologi digital.
“Teknologi digital semakin mencabar, tetapi cabarannya sangat menarik, dan saya rasa orang muda sangat menyukainya,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri berusaha untuk memastikan kemudahan teknologi digital dan komunikasi mencukupi di seluruh negeri terutama di kawasan luar bandar