KUCHING: Kebajikan serta kesejahteraan rakyat Sarawak adalah kunci utama yang dipegang oleh setiap pemimpin serta wakil rakyat di Sarawak.
Memetik laporan Utusan Borneo, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Abdullah Saidol berkata, keadaan politik di Sarawak adalah stabil dan tidak terpengaruh dengan suasana yang melanda politik negara pada ketika ini.
Selain daripada keadaan politik yang stabil, Kerajaan Sarawak juga berjaya untuk mengurus sumber kewangan negeri dengan bijak sehingga mampu untuk menyalurkan pelbagai bantuan seperti Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).
Tambah Abdullah yang juga merupakan Penolong Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg seringkali mengingatkan setiap wakil rakyat untuk terus memberikan tumpuan kepada isu-isu kebajikan yang disuarakan oleh rakyat, lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik ini.
Setiap wakil rakyat terutamanya, Ahli Dewan Undangan Negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyedari hakikat bahawa rakyat pada ketika ini tidak mahu untuk mendengar dan melihat isu politik yang remeh dan tidak membina.
Jelasnya, rakyat hanya menginginkan sebuah pentadbiran yang berfungsi, bertanggungjawab dan sentiasa berusaha untuk memulihkan keadaan sosioekonomi rakyatnya.
“Kalau pentadbiran kerajaan tidak berfungsi dengan lancar kerana bergelut dengan isu-isu kepentingan politik, bagaimana kebajikan masyarakat dapat diurus dengan baik,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut menyatakan rasa kecewanya terhadap suasana politik dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang mula bergolak sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran tiga tahun lepas.