Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau gustin dan atlet para olahraga, Siti Nooriasah Mohamad Ariffin dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang bagi upacara pembukaan sukan Paralimpik Tokyo, 24 Ogos ini.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata kedua-dua atlet yang dipilih itu melambangkan kepelbagaian kaum di Malaysia selain pemilihan dibuat berdasarkan pencapaian mereka sebelum ini.
Megat D Shahriman, yang juga ketua kontinjen Malaysia ke sukan paralimpik Tokyo, berkata Bonnie dipilih berdasarkan reputasinya selaku juara dunia dan pemegang rekod dunia kategori 72 kilogram (kg) ke atas manakala Siti Nooriasah meraih pencapaiannya di tempat keempat acara 400 meter wanita t20 (masalah pembelajaran) di Edisi Rio 2016.
“Bonnie merupakan seorang atlet bidayuh dari Sarawak manakala Siti Nooriasah pula atlet wanita melayu”
Selain muncul juara, Bonnie berjaya memecahkan rekod dunia pada piala dunia powerlifting fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) jun lepas apabila berjaya mengangkat bebanan seberat 230 kg, sekali gus memadam rekod dipegang atlet Iran Roohallah Rostami dengan bebanan 229 kg di sukan para Asia Jakarta, Indonesia pada 2018.
Dalam pada itu Megat D Shahriman memaklumkan persiapan kontinjen Malaysia ketika ini berjalan lancar selain turut mengingatkan anak buahnya agar sentiasa menjaga kesihatan dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan penganjur.
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.