Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Serba Dinamik sasar jadi peserta utama dalam sektor tenaga boleh baharu antarabangsa

KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd optimis untuk menjadi peserta utama dalam sektor tenaga boleh baharu (RE) antarabangsa menerusi langkah memanfaatkan anak syarikatnya yang berpangkalan di Scotland, Wellahead Engineering Ltd, yang diambil alih pada 2020.

Dalam kenyataan pada Selasa, penyedia perkhidmatan minyak dan gas bersepadu itu menjelaskan ia merancang untuk memperluas dan merealisasikan pencapaian dalam segmen perniagaan tersebut, meskipun berlaku ketidaktentuan situasi ekonomi dan cabaran luaran.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata wujud peluang perniagaan yang besar dalam sektor RE, khususnya dengan ladang kincir angin.

“Wellahead dipertanggungjawabkan untuk mewujudkan hubungan selain mengenal pasti peluang bagi Serba Group dalam segmen ini, di samping bertindak sebagai pemudah cara untuk menembusi saluran ke dalam sektor yang berpotensi menguntungkan ini. Rancangan telah dilaksanakan untuk menjadikan sasaran ini satu kenyataan,” katanya.

Pangkalan tempatan bagi Wellahead adalah di Dyce, Aberdeen, yang merupakan hab utama bagi firma multinasional minyak dan gas utama, dan baru-baru ini muncul sebagai pusat untuk peserta utama dalam industri ladang kincir angin luar pesisir.

“Pangkalan Wellahead di Aberdeen akan membolehkan akses mudah ke dalam pasaran United Kingdom dan Eropah. Serba Dinamik juga merancang untuk mengakses pasaran global bagi produk Wellahead.

“Kejayaan awal adalah meraih pesanan dari Bangladesh dan Oman,” katanya.

Abdul Karim berkata Serba Dinamik juga menikmati status keahlian platinum dalam Dewan Perdagangan Aberdeen, yang mempunyai hubungan global dengan persatuan perdagangan minyak dan gas serta RE untuk memanfaatkan peluang perniagaan.

Wellahead menjalankan perniagaan sejak lebih 30 tahun dengan rekod prestasi yang baik dalam industri mereka bentuk dan membuat komponen khusus dan berkejituan tinggi bagi sektor minyak dan gas huluan.

Produk syarikat itu dieksport ke Eropah, Asia Tenggara dan Australia.

– BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan