KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Perkembangan politik negara ekoran perletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menyaksikan Istana Negara hari ini sekali lagi menjadi tumpuan.
Ini berikutan pemimpin utama parti – parti politik tiba untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Abdullah Ri’Ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dipercayai berkaitan calon Perdana Menteri kesembilan.
Antara yang hadir termasuklah Presiden UMNO; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR); Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pejuang; Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Presiden Amanah; Mohamad Sabu dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mewakili Pas.
Pertemuan berkenaan menyusul selepas pada sebelah pagi tadi, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengutus surat kepada semua Ahli Parlimen untuk menghantar nama wakil rakyat sebagai calon Perdana Menteri yang disokong sebelum pukul 4 petang esok.
Muhyiddin meletakkan jawatan semalam selepas hilang majoriti di Dewan Rakyat susulan penarikan sokongan oleh 15 Ahli Parlimen UMNO beberapa minggu lepas.