KUCHING, 17 Ogos: Selain memiliki sifat penyayang, bakal Perdana Menteri Malaysia yang baharu perlulah memiliki sikap adil dan peka terhadap hak-hak istimewa negeri terutamanya Sarawak, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau melahirkan harapan agar hak-hak orang Sarawak tidak diketepikan dan rakyat di sini ditindas seperti yang pernah berlaku 50 tahun yang lalu.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melakukan yang terbaik dalam mengembalikan semula hak-hak istimewa Sarawak yang tertindas selama ini.
“Saya berharap ini akan dapat diteruskan oleh sesiapa sahaja yang bakal dilantik kelak sebagai Perdana Menteri yang baharu,” katanya ketika diminta mengulas berkaitan kriteria penting yang perlu ada sebagai individu bergelar Perdana Menteri.
Jelasnya, sudah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia tentang hak-hak istimewa negeri-negeri seperti Sarawak dan Sabah yang perlu terus dibela dan dijaga.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan kemungkinan bahawa Muhyiddin Yassin mungkin akan dilantik semula sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau terus mendapat undi percaya dalam lantikan baharu jawatan berkenaan.
“Sesiapa sahaja pemimpin tersebut, sama ada pemimpin yang lama atau baharu, mungkin juga Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri sekiranya ramai bersetuju dan percaya kepadanya.
“Saya tidak melihat sebarang masalah sekiranya beliau dilantik semula sebagai Perdana Menteri,” ujarnya lagi.
Pada Isnin, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghadap Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bagi menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Yang Di-Pertuan Agong seterusnya menerima surat perletakan jawatan berkenaan dan melantik beliau sebagai Perdana Menteri ‘Caretaker’ sehingga kerajaan baharu ditubuhkan.