Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
SHAH ALAM, 16 Ogos -- Peniaga kedai makanan Shukri Abdullah, 60, tidak melepaskan peluang mengikuti siaran langsung Perutusan Khas Perdana Menteri melalui telefon bimbit pada tinjauan di Seksyen 2 Shah Alam hari ini. Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meletak jawatan selepas 17 bulan memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Muhyiddin tetap ambil berat soal rakyat walaupun bukan lagi PM

ByBernama

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun bukan lagi menjadi perdana menteri, slogan ‘Kerajaan Prihatin’ akan terus berada dalam jiwa beliau serta rakan-rakan yang sehaluan dalam kerajaan Perikatan Nasional yang memerintah sebelum ini.

“Hakikatnya, saya bukan lagi perdana menteri, tapi saya akan turun ke bawah tengok…supaya nasib mereka (rakyat) terbela sebab saya faham semasa menjadi perdana menteri ada data menunjukkan rakyat miskin bertambah dan ini amat mencabar,” katanya kepada editor-editor kanan setelah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri semalam.

Beliau berkata jika dinilai daripada segi prestasi Perikatan Nasional, ia tidak gagal tetapi kerajaan beliau telah melakanakan tugas dangan baik dan ramai mengakuinya berdasarkan kepada usaha yang telah dilakukannya dalam memerangi pandemik COVID-19.

“Saya rasa kerajaan saya telah membuat yang terbaik…orang kata kita telah melakukannya, menguruskan COVID-19 bukannya mudah. Saya fikir kita telah menyelamatkan jutaan nyawa, beberapa ribu orang telah meninggal dunia, selalu orang melihat perkara ini tetapi sekarang rakyat telah menyedari bahawa kita telah menyelamatkan berjuta-juta nyawa, kami telah melakukan sehabis baik,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau merasa lega kerana telah melakukan apa yang sepatutnya dilakukan dalam melaksanakan usaha membantu rakyat berhadapan dengan pandemik.

“Sudah tentu ada yang bertanya apa perasaan saya, sama ada saya sedih. Saya fikir saya boleh melakukan lebih banyak lagi jika masih menjadi perdana menteri, saya ingin selesaikan semua perkara sehingga penghujungnya untuk melihat apa yang kita mulakan, dapat diselesaikan sepenuhnya walaupun dengan penat lelah, keletihan atau penuh berhati-hati, pasukan saya dan penjawat awam telah bekerja keras,” katanya.

Peniaga air batu campur, Aidil Abu Bakar, 35, tidak melepaskan peluang mengikuti siaran langsung Perutusan Khas melalui telefon bimbit.

Ahli Parlimen Pagoh itu berharap dengan ketiadaan beliau dan barisan Kabinet, pegawai kerajaan yang ada dapat terus menjalankan tugas membantu rakyat memerangi COVID-19 yang kini sudah menampakkan kelegaan dalam penularan pandemik itu.

“Saya sudah berjumpa dengan pegawai atasan penjawat awam, tentera, polis, Peguam Negara dan membincangkan perkara setelah saya bukan lagi perdana menteri. Mereka berjanji akan terus membantu sehingga selesai kes COVID. Saya berharap ia terus menjadi tumpuan dan jangan sesekali diabaikan.

“Saya rasa tanggungjawab bila baca mengenai kematian, bunuh diri. Pada akhirnya saya rasa bertanggungjawab dan saya tidak suka perkara seperti itu diletakkan di atas bahu saya, tetapi sebagai perdana menteri saya perlu menanggungnya,” katanya.

Beliau berharap kerajaan baharu akan meneruskan proses pemulihan terutamanya pelan pemulihan yang ada walaupun ia akan mengambil masa agak lama.

Peniaga kedai makanan Shukri Abdullah, 60, tidak melepaskan peluang mengikuti siaran langsung Perutusan Khas melalui telefon bimbit.

Muhyiddin berkata beliau sedar ramai yang meminta ‘Abah’ (gelaran diberikan rakyat kepadanya) supaya kekal dan jangan berhenti (meletakkan jawatan sebagai perdana menteri) namun ia tidak dapat dilakukan.

“Ramai minta saya kekal, Abah jangan berhenti kami sayang dan sebagainya, sangat menyentuh hati, saya harap dapat berbuat demikian tetapi di bawah demokrasi berparlimen lantikan seperti jawatan perdana menteri bersandarkan peruntukan dalam Perlembagaan, saya angkat sumpah…saya akan junjung Perlembagaan negara yang mendukung raja berperlembagaan dan sebagainya,” katanya.

Sebagai rakyat yang diberikan amanah, Muhyiddin berkata beliau melakukan semua ini mengikut yang terkandung dalam Perlembagaan iaitu apabila tidak lagi mendapat sokongan majoriti (ahli Dewan Rakyat) maka wajib bagi beliau meletakkan jawatan.

Beliau menjelaskan tindakan itu diambil disebabkan penarikan sokongan Ahli Parlimen terutamanya daripada parti UMNO terhadap beliau.

“Siapakah mereka itu…bukan saya nak menidakkan mereka sebagai Ahli Parlimen, tapi soal politik jika mereka fikir nasib rakyat ketika ini ramai terkesan dan jadi miskin, bukan masa berpolitik tapi tumpuan untuk selamatkan nyawa. Bantu rakyat, jangan berpolitik kita dah muak. Kalaulah mereka mengambil kira perkara itu mereka tidak akan bertindak seperti ini,” katanya.

Ditanya adakah beliau rasa telah dikhianati, Muhyiddin berkata apa yang berlaku sehingga beliau terpaksa melepaskan jawatan perdana menteri bukanlah pengkhianatan terhadapnya tetapi kepada negara dan rakyat yang sedang menderita.

“Fikir-fikirkanlah, jika mereka ada perasaan mereka tidak akan raikan pasal tumbangkan saya sedangkan kita sedang berusaha melaksanakan amal ibadah, buat sesuatu menyabung nyawa, jaga dan pelihara nyawa dan kehidupan, adakah itu tidak mulia.

”Ada petanda saya fikir dilakukan pihak tertentu untuk tujuan tertentu, saya tak nak buat kenyataan yang boleh diheret ke mahkamah. Ini fakta politik saya akui mungkin bawa kesan begitu rupa, mungkin cita-cita mereka berhasil, tapi tidak mengapa kita terima perkara (yang telah) ditakdirkan,” katanya.

Orang ramai menyaksikan Perutusan Khas secara langsung melalui televisyen.

Muhyiddin turut menitipkan nasihat agar kerajaan baharu terus memberi perhatian kepada kebajikan rakyat kerana masalah COVID-19 masih belum selesai.

”Saya minta semua bertenang, sistem yang kita bina dalam negara terjamin, jaga hubungan baik dan usaha bantu rakyat…peruntukan kerajaan dalam bajet mesti dibelanjakan, rakyat jangan rasa terbiar, harap pimpinan kerajaan baharu tidak akan mengabaikan mereka, yang penting usaha yang dibuat diteruskan dan langkah lain harus dilakukan,” katanya.

Beliau berdoa dan mengharapkan agar Malaysia dapat bangkit semula dengan pertumbuhan yang pantas agar rakyat dapat hidup seperti biasa.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan