KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa Kerajaan Perpaduan mungkin merupakan kaedah penyelesaian terbaik bagi menangani krisis politik negara ketika ini.
Menurut Anwar, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memberi nasihat dan peringatan untuk mengagaskan satu bentuk politik baharu yang lebih aman untuk rakyat.
“Tuanku menyampaikan peringatan bahawa dalam kemelut politik dan perlembagaan ketika ini, kita harus bersatu untuk atasi masalah COVID-19 dan ekonomi namun Seri Paduka menegaskan untuk mencari calon yang mendapat sokongan majoriti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadap Seri Paduka di Istana Negara hari ini bersama ketua-ketua parti politik yang lain.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau melihat ‘wujud’ konsensus di kalangan semua ketua parti politik ketika bertemu Tuanku Sultan untuk menghentikan politik lama yang melelahkan sebaliknya harus menumpukan ke arah perpaduan.
“Maknanya yang menang (dipilih sebagai Perdana Menteri), jangan tekan yang kalah, harus ada muafakat baharu dan bekerjasama untuk menangi masalah COVID-19,” katanya. -TVS