GEORGE TOWN, 16 Ogos — Tiga individu maut selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dan melanggar sebatang pokok hingga menyebabkan kenderaan dinaiki mereka hangus, dalam kejadian di Jalan Masjid Negeri, di sini awal pagi ini.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Sha’ari Mansor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.55 pagi memaklumkan kemalangan membabitkan sebuah kereta Toyota Vios.
“Sebaik kami tiba di lokasi kejadian mendapati sebuah kereta yang nombor pendaftaraan tidak dapat dikenal pasti berikutan hangus terbakar selepas melanggar sebatang pokok di situ, terlibat dalam kemalangan itu.
“Akibat daripada kemalangan itu telah menyebabkan kenderaan tersebut terbakar dan terdapat tiga orang mangsa terperangkap di dalam kereta yang terbakar dan mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan yang hadir di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pihak bomba yang lengkap berpakaian peralatan perlindungan diri (PPE) membuat kerja-kerja pemadaman dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan “Rescue Tools”.
Beliau berkata semua mayat yang rentung itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong ketika dihubungi berkata kes kemalangan itu masih dalam siasatan dan identiti serta jantina tiga mangsa terlibat dalam kemalangan masih belum dapat dikenal pasti.
— BERNAMA