SEREMBAN, 16 Ogos — Bau busuk dihidu jiran dari sebuah rumah di Garden Homes, Seremban 2, dekat sini membawa kepada penemuan mayat wanita warga emas hari ini.
Pegawai Operasi dari Balai dan Bomba Penyelamat Seremban 2, PBK II Kamarulzaman Md Salleh berkata pihaknya menemukan mangsa berusia lingkungan 60 tahun terbaring tidak sedarkan diri di hadapan pintu bilik air rumah berkenaan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa tinggal berseorangan di rumah itu.
“Jiran memberitahu mangsa tidak keluar sejak beberapa hari lepas dan kali terakhir dilihat keluar rumah pada Jumaat lalu. Berasa pelik dengan keadaan itu, jiran mangsa kemudian menghubungi bomba pada 10.11 pagi tadi untuk meminta bantuan.
“Setiba di lokasi, pihak bomba bertindak menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu rumah mangsa dan menemukan mangsa terbaring tidak sedarkan diri di hadapan pintu bilik air,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Menurutnya, punca kematian mangsa masih disiasat dan mayat wanita malang itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kematian warga emas itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.
— BERNAMA