LIMBANG, 15 Ogos: Rakyat Sarawak bakal diperkenalkan dengan kaedah pasport sebagai dokumen membuktikan individu itu sudah lengkap divaksin dos kedua.
Hal ini bakal dilaksanakan dengan bantuan pakar-pakar teknologi maklumat (IT) yang dihantar kerajaan negeri untuk menyelaras dan meningkatkan jaringan Internet di setiap kawasan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata kaedah pasport itu akan digunakan di pasar raya dan kedai makan.
“Ia antara sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi dibawah pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Tiga.
“Pasport ini berfungsi sebagai dokumen menunjukkan individu sudah lengkap vaksin dua dos yang menggunakan kad dan terpaksa diproses menggunakan kepakaran IT,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Taklimat Pembangunan di Rumah Rehat Kerajaan, pada Sabtu.
Antara pihak yang akan terlibat dalam menjayakan usaha ini adalah Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).
Katanya lagi, SDEC turut akan memberi bantuan menyelaras dan menaiktaraf kelajuan internet untuk memproses pasport ini di kawasan strategik di bahagian Limbang, termasuk Lawas dan kawasan yang mempunyai populasi besar.
Dalam perkembangan sama, Abang Johari memberitahu bahagian Limbang sudah berjaya mencapai imuniti kelompok dan melepasi sasaran 80 peratus penduduknya yang layak menerima suntikan vaksin.
Limbang kini mencapai 88 peratus penduduknya sudah divaksinasi.
“Setakat ini hanya lebih 5,000 orang penduduk yang layak, perlu diberi vaksinasi.
“Saya percaya sehingga hujung bulan ini angka ini akan dapat dicapai dimana jumlah itu akan dapat diberi vaksinasi hingga dos kedua,” katanya.
Menurut beliau melihat kepada program vaksinasi yang ada di bahagian Limbang, penduduknya memberi respon yang amat baik dalam program vaksinasi.