KUALA LUMPUR, 15 Ogos : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha – usaha yang dilaksanakan kerajaan untuk membawa negara keluar dari cengkaman pandemik COVID-19 kini semakin menampakkan sinar kejayaan berdasarkan data – data terkini.
Ujar Muhyiddin, usaha gigih terutamanya yang dirintis oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) serta petugas barisan hadapan membolehkan kadar pemberian vaksin lengkap di Lembah Klang kini mencapai 64. 7 peratus sekaligus menyumbang kepada penurunan kemasukan pesakit ke wad.
Katanya, berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah dua hari lepas, kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital bagi semua kumpulan umur juga mula menunjukkan trend menurun.
“Kita juga sudah mula melihat perkembangan awal yang positif daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di beberapa buah negeri iaitu di Wilayah Persekutuan (WP) Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan negeri-negeri di Lembah Klang seperti Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.
Perdana Menteri berkongsi maklumat berkenaan menerusi catatan di Facebooknya petang ini.
Menurut Muhyiddin, semalam apabila buat pertama kalinya, tidak ada kes jangkitan baharu COVID-19 yang dilaporkan di WP Labuan dan ketika ini, kadar vaksinasi lengkap di pulau berkenaan telah mencapai 88.1 peratus.
Berhubung situasi di Lembah Klang, ujar Perdana Menteri, sinar kejayaan mula menjelma apabila purata pesakit menunggu di Jabatan Kecemasan hospital -hospital utama menurun.
“Pada 31 Julai lepas, purata sehari bagi pesakit menunggu ialah 909 orang namun hasil perancangan rapi kerajaan dan perlaksanaan strategi oleh KKM serta kesan vaksinasi, ia telah menurun kepada 239 orang pada 13 Ogos,” katanya,
Sambil mengharapkan trend penurunan akan berterusan, Perdana Menteri turut mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberi sokongan padu kepada kerajaan untuk melawan pandemik COVID-19.
“Rakyat Malaysia, anda semua adalah insan yang hebat. Anda semua begitu tabah dan sabar mengharungi pandemik ini walaupun pada hakikatnya amat sukar untuk dilakukan.
“Segala usaha Kerajaan Perikatan Nasional semakin hampir dengan kejayaan dan insya-Allah kita pasti akan berjaya keluar dari cengkaman pandemik ini dengan teratur dan selamat melalui Pelan Pemulihan Negara(PPN),”katanya. -TVS