Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Thailand tangguh beli 8.5 juta kit ujian antigen

BANGKOK, 12 Ogos — Organisasi Farmaseutikal Kerajaan (GPO) Thailand menangguhkan sementara pembelian 8.5 juta kit ujian antigen (ATK) susulan kebimbangan mengenai ketepatan alat itu. 

Setiausaha Tetap Kesihatan Awam Dr Kiatiphum Wongrajit berkata GPO dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) akan melakukan pemeriksaan lanjut untuk memastikan kit itu boleh dipercayai atau tidak.

“Hospital Rajavithi meminta GPO segera membeli 8.5 juta kit ujian antigen untuk membolehkan ujian awal COVID-19. Hospital dan Pejabat Keselamatan Kesihatan Kebangsaan telah menetapkan spesifikasi kit ujian yang diperlukan.

“GPO telah memilih pembekal yang disahkan oleh FDA,” katanya seperti dipetik Bangkok Post.

Kiatiphum tidak menamakan ATK berkenaan namun Persatuan Doktor Luar Bandar (RDS) mendesak Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha untuk menangguhkan pemeteraian kontrak dengan Lepu Medical Technology China, untuk membekalkan 8.5 juta ATK.

Menurut laporan kerajaan merancang mengedarkannya secara percuma kepada orang ramai melalui hospital, lapor Thai PBS.

Dalam satu kenyataan, RDS memaklumkan GPO harus mendapatkan ATK yang memenuhi standard ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan bukan berdasarkan harganya.

“Tentera memerlukan kereta kebal, kapal terbang dan kapal selam berkualiti tinggi untuk melindungi negara ini dari penceroboh, begitu juga doktor yang memerlukan ATK berkualiti untuk melawan COVID-19,” RDS memetik Thai PBS.

Dalam tempoh 24 jam lalu, kes COVID-19 Thailand mencatat 22,782 kes baharu mengumpul jumlah keseluruhan sebanyak 839,771. Seramai 147 lagi meninggal dunia menambah jumlah korban kepada 6,942 orang.

Bangkok mendahului senarai dengan 4,854 kes baharu dan 70 kematian.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan