KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Sebanyak 175 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam hari ini menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi merayu supaya Seri Paduka campur tangan untuk menghentikan pertelingkahan serta perebutan kuasa di kalangan ahli – ahli politik ketika ini.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Mohd Zai Mustafa berkata, kesemua NGO berkenaan berkongsi hasrat sama iaitu ingin melihat kepentingan rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 diberi keutamaan terlebih dahulu.
“Sejak kebelakangan ini, kita melihat pelbagai karenah oleh pemimpin politik menjelang pembukaan Sidang Parlimen pada bulan depan.Mereka membuat saranan dan bercakaran seolah -olah tidak kesudahan.
“Kami bimbang ianya boleh mengancam keamanan dan kestabilan negara serta rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum berkenaan yang mempunyai 10 perkara utama kepada wakil Ketua Setiausaha Sulit Yang di-Pertuan Agong di pintu masuk Istana Negara di sini hari ini.
Menurutnya, antara perkara yang terkandung dalam memorandum berkenaan ialah supaya fokus diberikan untuk menangani COVID-19
“Selepas keadaan terkawal, kita berharap supaya mandat dapat dikembali kepada rakyat untuk membuat keputusan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang untuk memilih kerajaan,” katanya. -TVS