KUCHING, 13 OGOS: Seorang daripada empat anggota yang maut adalah suspek yang terlibat dalam insiden tembakan melibatkan empat anggota TUDM bertugas di Balai Pengawal(HANDAU), dedah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Mancha Ata.
Jelas Mancha, siasatan awal kes tersebut mendapati suspek merampas senjata api dari tempat simpanan senjata api Balai Pengawal, Kompleks Skuadron 330 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kota Samarahan.
Menurut beliau, rakan suspek yang cuba menenangkan suspek telah ditembak di bahagian perut, sebelum masuk ke bahagian bilik rehat dan menembak seorang lagi di bahagian sisi dada sebelah kanan dan mati di tempat kejadian.
Jelasnya lagi, kemudian suspek menembak seorang lagi rakannya dari arah belakang.
“Suspek kemudian membunuh diri dengan menembak bahagian bawah dagu di mana tembakan menembusi otak dan mati di tempat kejadian. Dua orang mangsa termasuk suspek mati di tempat kejadian dan seorang mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi di Pusat Jantung Umum Sarawak, Kota Samarahan.
“Setakat ini siasatan meliputi pengambilan sampel DNA, senjata, kesan tembakan dan kelongsong senjata dan akan dihantar ke forensik PDRM dan Jabatan Kimia untuk siasatan selanjutnya,” kata Mancha dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, polis juga telah meneliti kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi akan dipanggil untuk siasatan lanjut.
“Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” tambah beliau.
Beliau menegaskan maklumat suspek dan mangsa dirahsiakan untuk menghormati dan menjaga sensitiviti keluarga dan meminta orang awam tidak membuat sebarang spekulasi kes.