MELAKA, 11 Ogos — Sindiket terbesar penjualan dan pemalsuan watikah serta pingat darjah kebesaran negeri Melaka, yang membawa gelaran datuk dan datuk seri serta watikah Jaksa Pendamai Melaka akhirnya tumpas, selepas dua dalang dan 32 individu ditahan Polis Kontinjen Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kesemua suspek ditahan dalam beberapa siri serbuan menerusi operasi khas bermula 22 Feb hingga 29 Mac lepas di sekitar Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor.
Beliau berkata kesemua mereka yang ditahan itu berusia lingkungan 26 hingga 70 tahun dipercayai terlibat sebagai dalang utama, orang tengah dan pembeli watikah, pingat serta bintang palsu darjah kebesaran Melaka, yang ditawarkan dengan harga antara RM50,000 hingga RM100,000.
“Serbuan ini berdasarkan maklumat awal daripada orang awam mengenai aktiviti yang dijalankan sindiket yang didalangi dua lelaki berusia 40an, yang dipercayai menjalankan kegiatannya sejak pertengahan tahun lepas, selain dibantu beberapa orang tengah yang berperanan sebagai pempromosi dan penjual.
“Dua dalang utama itu ditahan di rumahnya di Melaka Tengah yang turut dijadikan sebagai pusat mencetak watikah, manakala pingat dan selempang palsu ditempah dari luar negara dari pembekal tidak sah,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Seri Negeri di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali.
Sulaiman berkata, modus operandi digunakan ialah menyasarkan ahli perniagaan dan mempromosi kegiatan mereka melalui kenalan, sebelum menghantar pesanan watikah, pingat dan bintang darjah kebesaran Melaka itu, di tempat yang ditetapkan.
“Polis Melaka juga telah merampas pelbagai barangan antaranya lapan keping watikah palsu darjah kebesaran Melaka, lapan watikah palsu Jaksa Pendamai Melaka, 13 selempang, 21 pingat dan darjah kebesaran.
“Selain itu turut dirampas dua keping kad keahlian palsu dan 168 set emblem kereta Majlis Datuk-Datuk Melaka, dua keping keahlian palsu dan tujuh set emblem kereta Majlis Jaksa Pendamai Melaka, selain peralatan komputer dan aksesori,” katanya.
Sulaiman berkata sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka polis Melaka berkaitan kes itu, yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau berkata kes turut disiasat di bawah Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Yang Tidak Betul) Enakmen A21 Enakmen Negeri Melaka, dan Seksyen 3(1)(b) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Yang Tidak Betul) Enakmen A21 Enakmen Negeri Melaka.
“Justeru orang awam juga dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan kegiatan pemberian pingat darjah kebesaran negeri Melaka seumpama ini, kerana ia melibatkan proses dan pemberian melalui majlis rasmi.
“Melaka ini ada permohonan, ada tapisan keselamatan mesti melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Isolvensi dan polis. Tidak kira apa permohonan bermula dari sekecil-kecil pingat hingga yang paling tinggi, akan melalui tapisan tiga agensi ini sebelum permohonan mereka layak,” katanya.
Katanya kedua-dua lelaki dalang utama sindiket itu akan dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, esok.
— BERNAMA