Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Seramai 2,790 usahawan terima manfaat pembiayaan MARA berjumlah RM305.62 juta

KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah memberikan kemudahan pembiayaan berjumlah RM305.26 juta kepada 2,790 usahawan seluruh negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19, setakat ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata kemudahan itu diberikan kepada mereka sama ada menerusi Skim Pembiayaan Prihatin Mikro (S3P), Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) Penjana kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) atau pun Skim Pembiayaan Pengukuhan Perniagaan (SPAK).

Beliau berkata untuk S3P, seramai 1,031 usahawan telah menerima manfaat dengan nilai pembiayaan berjumlah RM37.7 juta dengan Selangor mendapat kelulusan pembiayaan tertinggi sebanyak RM4.1 juta diikuti Kuala Lumpur (RM3.57 juta) dan Negeri Sembilan (RM3.45 juta).

“Di bawah S3P ini, usahawan terpilih akan menerima pembiayaan maksimum RM50,000 untuk dijadikan sebagai modal pusingan perniagaan.

“Pemberian ini dibuat secara telus kerana kita ada jawatankuasa yang menilai kebolehupayaan mereka untuk membayar balik pembiayaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan walkabout ke premis perniagaan di Ibu Pejabat MARA, di sini hari ini.

Pada program itu, beliau turut menyampaikan cek pembiayaan S3P berjumlah antara RM45,000 dan RM50,000 kepada tiga usahawan terpilih.

Abd Latiff berkata bagi SPiM Penjana IPTS dan PKS pula, sejumlah RM254.3 juta telah diluluskan untuk pembiayaan kepada 158 usahawan dan RM13.26 juta di bawah SPAK untuk memanfaatkan seramai 1,601 lagi usahawan.

Secara keseluruhannya, beliau berkata MARA menyediakan sebanyak RM50 juta untuk membantu usahawan-usahawan ini meneruskan kelangsungan perniagaan mereka di bawah S3P, RM300 juta (SPiM Penjana IPTS dan PKS) dan RM20 juta (SPAK).

Sementara itu, seorang pengusaha pusat cucian kereta, Azhairi Shafii, 42, yang berjaya mendapat pembiayaan S3P itu berkata bantuan diterima sedikit sebanyak dapat membantunya meningkatkan keupayaan dan kecekapan perniagaan termasuk membeli peralatan-peralatan perlu.

“Saya memohon pembiayaan ini bulan lepas dan kelulusannya sangat cepat dengan kadar keuntungan dikenakan pun hanya tiga peratus, lebih rendah berbanding yang ditawarkan oleh bank dan oleh itu, saya rasa semua orang mampu membayarnya semula,” katanya yang menjalankan perniagaan di Jalan Klang Lama di sini sejak awal tahun ini.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan