LIMBANG, 12 Ogos : Dalam melaksanakan pembangunan, pengambilan tanah adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan bagi memastikan projek pembangunan itu dapat dilaksanakan untuk kepentingan awam.
Bagaimanapun, menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Kerajaan Sarawak tidak akan mengambil tanah rakyat yang terlibat dengan projek kerajaan secara percuma sebaliknya diambil berdasarkan kepada peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan iaitu antara lainnya menyebut tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.
“Tiada undang-undang boleh memperuntukan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang mencukupi.
“Semua tanah yang diambil balik akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian dari Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
“Pampasan ini akan dinilai sewajarnya berdasarkan tanaman yang ada, struktur binaan jika ada dan saiz tanah yang terlibat mengikut nilai semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Bagi Projek-Projek Di Daerah Limbang di Pejabat Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Limbang pada Rabu.
Pada majlis itu, Datuk Amar Awang Tengah telah menyerahkan cek pampasan kepada 41 orang penerima yang terlibat dalam Projek Jalan Baru Nanga Medamit ke Rumah Aling dengan jumlah lebih RM1.2 juta.
Projek ini telah diluluskan pada 1 Ogos 2019 dan proses pengambilan balik tanah bagi projek ini telah selesai pada 28 April 2021.
Menerusi projek ini akan memudahkan perhubungan antara satu kawasan dengan satu kawasan dan yang lebih penting ianya akan membolehkan masyarakat yang dahulunya tiada perhubungan akan dapat membuka tanah-tanah mereka setelah jalan dibina.
Mengulas lanjut projek ini, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar & Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak menjelaskan projek ini telah mula dilaksanakan pada tahun lepas di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).
“Projek ini adalah di bawah peruntukan NRDA yang mana ianya kita laksanakan secara serentak iaitu untuk pembinaan jalan dari Nanga Medamit ke Rumah Aling untuk Fasa Pertama sahaja yang kosnya melibatkan lebih daripada RM119 juta.
“Dalam masa yang sama, kita akan melaksanakan secara parallel melalui jalan itu Projek Bekalan Air yang menyambung ke sistem retikulasi yang dilaksanakan oleh pihak LAKU.
“Untuk projek bekalan air saja kita anggarkan berjumlah RM10 juta,” ujarnya.
Turut sama hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Limbang Superi bin Awang Said dan Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Limbang Awang Nazri Awang Saperi.
-EDISI UKAS