KUALA LUMPUR, 11 Ogos: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluahkan rasa terkejut dengan penularan beberapa video menunjukkan penerima suntikan vaksin yang dipercayai warga asing di dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekitar ibu negara tidak mengamalkan penjarakan fizikal sehingga menimbulkan kebimbangan rakyat.
Ismail Sabri berkata, beliau berharap pihak penguatkuasa dapat memastikan keadaan pekerja asing yang bersesak-sesak seperti itu tidak berulang kerana boleh menyebabkan penularan wabak.
“Saya akan menghubungi kementerian berkaitan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya kejadian ini dapat ditangani segera,” tulis beliau di Facebook.
Hari ini tular rakaman video menunjukkan keadaan di PPV Grand Seasons yang mana orang ramai dipercayai warga asing beratur tanpa menjaga penjarakan fizikal.
Rakaman juga menunjukkan seorang lelaki rakyat dipercayai rakyat tempatan mengarahkan orang ramai yang berbaris panjang itu supaya menjarakkan diri.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan mengarahkan pasukan pematuhan ke PPV berkenaan bagi mengawal keadaan.
“Anggota polis mengarahkan orang ramai yang hadir supaya membuat penjarakan sosial dan memakai pelitup muka seperti SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),”katanya menerusi kenyataan media.
Ujar beliau, polis berjaya mengawal keadaan di PPV berkenaan sehingga program vaksin selesai.
“ PDRM juga memohon kerjasama orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang dikeluarkan. Sekiranya mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran peraturan ini, orang ramai diminta menghubungi talian hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999,” katanya. -TVS