Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
PUTRAJAYA, 11 Ogos -- Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz ketika sidang media khas mengenai Program Malaysia My Second Home (MH2M) di Kementerian Dalam Negeri hari ini.?Turut kelihatan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud (kanan). ? --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Program MM2H diaktifkan semula

ByBernama

PUTRAJAYA: Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), yang sebelum ini dibekukan, kini diaktifkan semula dengan penambahbaikan dibuat ke atas dasar dan syarat permohonan bagi tujuan mengimbangi aspek keselamatan dan ekonomi.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata permohonan baharu bagi program itu akan diproses serta dikendalikan oleh Jabatan Imigresen bermula Oktober ini setelah semua proses berkaitan perundangan selesai.

Menurutnya, Jemaah Menteri pada 14 Julai dan 30 Julai lepas bersetuju dengan cadangan penambahbaikan dasar baharu Program MM2H itu sebagai salah satu strategi untuk membantu pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi menjana semula ekonomi negara.

“Tatacara permohonan program MM2H juga akan ditambah baik dengan mewujudkan satu sistem secara dalam talian bagi tujuan permohonan, pemprosesan dan pangkalan data profil peserta MM2H,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Wan Ahmad Dahlan berkata antara penambahbaikan yang dibuat dalam program MM2H itu adalah penetapan jumlah bilangan peserta iaitu prinsipal dan tanggungan pada satu-satu masa dengan tidak melebihi satu peratus daripada jumlah warganegara Malaysia.

“Hanya peserta yang berkelayakan dan tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah akan dibenarkan untuk menyertai program ini,” katanya serta menambah bahawa kerajaan memahami kebimbangan rakyat mengenai kemasukan warga asing melalui program MM2H yang dikhuatiri akan menambah lambakan warga asing.

Beliau berkata syarat keberadaan atau kemastautinan peserta di Malaysia adalah kumulatif sekurang-kurangnya 90 hari dalam setahun bagi memastikan peserta mereka benar-benar berbelanja dan menyumbang kepada ekonomi negara seperti dalam bentuk sewaan atau pembelian hartanah, perkhidmatan kesihatan, insurans, pendidikan, makan minum dan pelancongan domestik.

Wan Ahmad Dahlan berkata peserta perlu mempunyai pendapatan luar negara sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini.

“Syarat pendapatan baharu ini lebih relevan kerana kerajaan menyasarkan peserta yang berkualiti, berkemampuan dan berpendapatan tinggi. Selain mengambil kira perbelanjaan yang akan dibelanjakan dalam pendidikan anak-anak di sekolah antarabangsa sebagai contoh, dan gaya hidup yang sesuai dengan taraf hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata pemohon juga perlu memiliki akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta, berbanding syarat sebelum ini iaitu sekurang-kurangnya RM150,000 bagi pemohon 50 tahun ke atas dan RM300,000 bagi pemohon 50 tahun ke bawah.

Peserta juga perlu membuat pengisytiharan dan membuktikan memiliki aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta berbanding syarat sebelum ini yang menetapkan nilai aset cair sebanyak RM350,000 dan RM500,000 mengikut kategori masing-masing, katanya.

Beliau berkata program MM2H itu kini dipecahkan kepada dua kategori peserta iaitu lingkungan umur 35 hingga 49 tahun, dan 50 tahun ke atas.

“Kategori umur 35 hingga 49 tahun diperkenalkan untuk memilih peserta yang benar-benar berkualiti yang lebih stabil dari segi pendapatan dan mempunyai kerjaya tetap,” katanya ia diperkenalkan selaras dengan peredaran masa dan melihat kepada kejayaan program seumpama MM2H yang memberi kesan limpahan ekonomi kepada negara jiran iaitu Thailand dan Filipina.

Wan Ahmad Dahlan berkata tempoh Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang Program MM2H kini ditetapkan lima tahun dan boleh dilanjutkan selama lima tahun dan seterusnya selagi peserta berminat tertakluk kepada kepatuhan syarat permohonan, berbanding 10 tahun sebelum ini.

Wan Ahmad Dahlan berkata kadar fi pas dinaikkan kepada RM500 setahun daripada RM90 sebelum ini, manakala fi proses sebanyak RM5,000 akan dikenakan kepada prinsipal dan RM2,500 bagi setiap tanggungan.

“Sebelum ini fi proses tidak dikenakan kepada peserta program MM2H. Kenaan fi proses ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan yang akan diberikan ke atas peserta program MM2H,” katanya.

Bagi pembaharuan pas, pertukaran prinsipal, pertukaran kewarganegaraan peserta dan tanggungan perlu menjalani dan lulus tapisan keselamatan, selain pemohon juga wajib mengemukakan Sijil Berkelakuan Baik untuk peserta dan tanggungan, katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata pelaksanaan dasar baharu program MM2H itu terpakai kepada semua permohonan baharu dan permohonan pelanjutan bagi peserta sedia ada yang telah dan akan tamat tempoh sah pas MM2H.

“Maksudnya, peserta sedia ada sekiranya masih berminat untuk menyertai program ini boleh memohon pelanjutan tertakluk kepada syarat-syarat baharu dipatuhi.

“Tempoh penangguhan selama setahun akan diberikan bagi memberi ruang masa kepada peserta lanjutan untuk memenuhi keperluan syarat-syarat baharu berkenaan,” katanya.

Program MM2H diperkenalkan pada tahun 2002 yang membenarkan warga asing membeli hartanah dan tinggal di Malaysia untuk tempoh yang lama. Ia dibekukan sementara pada Ogos 2020 bagi memberi ruang kepada KDN dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengkaji serta menilai semula program berkenaan secara komprehensif.

Menurutnya, program MM2H telah berjaya merangsang ekonomi negara dengan pendapatan berjumlah RM11.89 bilion iaitu secara kumulatif sejak 2002 hingga 2019 menerusi fi visa, pembelian hartanah, pembelian kenderaan persendirian, simpanan tetap dan perbelanjaan isi rumah bulanan.

Setakat ini, Wan Ahmad Dahlan berkata jumlah peserta MM2H yang telah diluluskan adalah 57,478 orang termasuk tanggungan yang dibawa oleh pemegang pas MM2H.

Beliau menegaskan pelaksanaan program MM2H dan kemasukan peserta program ke Malaysia masih tertakluk kepada dasar dan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan.

Ditanya adakah kebenaran diberikan bagi pemohon dari negara yang mencatatkan kes positif COVID-19 tinggi dan dilarang memasuki Malaysia, Wan Ahmad Dahlan berkata larangan tersebut masih berkuat kuasa.

Pada 7 Sept lepas, Malaysia menyenaraikan 23 negara disekat memasuki Malaysia kerana mencatat kes positif COVID-19 melebihi 150,000 kes.

Negara itu adalah Amerika Syarikat, Brazil, India, Rusia, Peru, Columbia, Afrika Selatan, Mexico, Sepanyol, Argentina, Chile, Iran, United Kingdom, Bangladesh, Arab Saudi, Pakistan, Perancis, Turki, Itali, Jerman, Iraq, Filipina dan Indonesia.

– BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan