KUCHING,11 OGOS: Aksi seorang lelaki membuat “persembahan silat” sambil menghunus sebilah pedang di sebuah rumah ibadat di sini yang tular di media sosial telah membawa kepada penahannanya oleh pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah memaklumkan pihaknya telah menerima dua laporan terhadap lelaki berusia 34 tahun itu melibatkan dua kesalahan berlainan yang tular di Facebook.
“Laporan yang diterima pada 9 Ogos adalah berkaitan satu video berdurasi 1 minit 54 saat yang tular di Facebook, memaparkan tindakan khianat suspek terhadap notis pematuhan prosedur operasi standard (SOP) jumlah jemaah yang boleh hadir untuk solat di salah sebuah masjid di Jalan Pinang.
“Pada 10 Ogos, satu lagi video membabitkan suspek dikesan berlaku di salah sebuah rumah ibadat di Carpenter Street dimana video berdurasi 1 minit 53 saat itu memaparkan aksi suspek sedang bersilat sambil memegang sebilah pedang,” kata Ahson dalam satu kenyataan di sini.
Hasil risikan pihak polis, suspek telah ditangkap pada jam 1 petang semalam (Selasa).
“Dua kertas siasatan telah dibuka terhadap suspek di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakitan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun beserta sebatan,” katanya.
Suspek juga turut dikompaun di bawah Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 atas kesalahan tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.
Ahsmon turut mendedahkan suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah, namun hasil ujian saringan awal mendapatinya negatif dadah.
“Tahanan reman ke atas suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dipohon di Mahkamah Majistret Kuching hari ini untuk siasatan lanjut,” jelasnya.