BANGKOK, 10 Ogos — Penunjuk perasaan yang menaiki kereta dan motosikal menyebabkan bandar raya Bangkok sekali lagi menjadi kacau-bilau sehingga mencetuskan pertempuran dengan pihak polis.
Rusuhan tercetus di persimpangan Ratchaprasong, dianjurkan oleh United Front of Thammasat and Demonstration.
Konvoi kereta dan motosikal melalui jalan-jalan di Bangkok sambil membunyikan hon dan berhenti di luar bangunan yang menempatkan anggota kabinet atau penyokong Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha.
Penunjuk perasaan terus melaungkan tuntutan mereka agar Prayuth meletak jawatan.
Segelintir penunjuk perasaan berang apabila anggota polis menyekat laluan ke kediaman Perdana Menteri di Jalan Vibhavadi Rangsit berhampiran persimpangan Din Daeng, lokasi sama peserta protes bertempur dengan polis pada Sabtu.
Polis kemudian melepaskan gas pemedih mata, meriam air dan peluru getah untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Kira-kira 5 petang (waktu tempatan), pemimpin protes Panusaya Sitthijirawatanakul melalui media sosial menggesa penunjuk perasaan beredar tetapi pertempuran tetap berterusan di Persimpangan Din Daeng.
Pada 8 malam (waktu tempatan), penunjuk perasaan menolak enggan beredar dan bertindak membakar pos polis di Persimpangan Din Daeng dan Monumen Kemenangan.
Hari ini juga menandakan ulang tahun Panusaya membacakan manifestonya, sesuatu yang dianggap tabu di Thailand,
Sementara itu, media tempatan melaporkan polis telah menahan semula sekurang-kurangnya 10 pemimpin tunjuk perasaan termasuk Jatupat Boonpathararaksa, Parit Chiwarak dan Panupong Jadnok.
Mereka pernah ditahan sebelum ini dan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin pada Apri.
— BERNAMA