Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
covid-19
covid-19

Varian Delta punca lonjakan kes COVID-19 di Kedah

ByFirdaus Ismail
Gambar fail menunjukkan anggota polis bertugas pada Sekatan Jalan Raya (SJR) di Alor Setar, Kedah dalam usaha membendung penularan COVID-19.

KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Trend peningkatan kes positif baharu COVID-19 di Kedah sejak kebelakangan ini adalah disebabkan oleh penularan varian Delta yang telah merebak di hampir keseluruhan daerah di negeri berkenaan.

Varian Delta kemudian menyebabkan berlaku peningkatan kes jangkitan dan seterusnya mencetuskan kluster dalam komuniti.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo berkata, pada masa sama, kluster-kluster berkaitan industri atau tempat kerja yang masih aktif turut menyumbang kepada kenaikan kes.

“Varian Delta telah ditemui di Kedah. Kita percaya ia salah satu punca utama peningkatan kes ketika ini,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Jangkitan kes COVID-19 di negeri utara itu dilihat semakin membimbangkan pada hari ini apabila mencatatkan kes positif baharu sebanyak 1,830 iaitu rekod tertinggi sejak dilanda pandemik.

Semalam, Kedah turut merekodkan jumlah jangkitan tinggi sebanyak 1,328 kes serta melaporkan sebanyak 20 kes kematian.

Sementara itu dalam kenyataan media berasingan, Dr. Othman menjelaskan, peningkatan aktiviti pengesanan kes secara aktif oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah sejak bulan lepas juga menyumbang kepada peningkatan kes.

Katanya, JKN Kedah turut melakukan penjejakan kontak dan saringan bergejala bagi mengesan sebanyak mungkin kes positif dan seterusnya mengasingkan pesakit termasuk memberi rawatan awal.

Beliau memberitahu, analisis mendapati sebanyak 99.3 peratus kes baharu di Kedah bagi tempoh 25 Julai hingga 7 Ogos lalu merupakan kategori satu dan dua yang tidak mempunyai simptom teruk.

Berhubung perkembangan vaksinasi di negeri itu yang mencatatkan antara kadar terendah di negara ini, Dr. Othman yakin situasi akan berubah apabila lebih banyak suntikan dos harian akan diberikan kepada penduduk selepas ini dalam usaha membendung penularan virus.

“Saya yakin kita berada di landasan betul untuk mengawal pandemik COVID-19 di negeri ini menerusi peningkatan liputan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),”katanya.

Sehingga hari ini, seramai 732 829 individu dewasa di Kedah telah menerima suntikan dos pertama manakala 421 866 individu telah melengkapkan suntikan pelalian masing – masing. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan