PADAWAN: Seorang penganggur lelaki telah ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 5.23 gram dengan anggaran harga RM550 di Jalan Mambong Puncak Borneo di sini pada Isnin.
Menurut Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, pihaknya melakukan serbuan kira-kira pada jam 12.18 tengah hari.
Pihak polis turut membuat pemeriksaan ke atas tubuh suspek dan bilik tidurnya.
Hasil serbuan, pihak polis menjumpai dua paket plastik lutsinar yang berisi ketulan kristal dipercayai dadah berbahaya jenis syabu atau metamfetamina.
Suspek, 22 tahun, telah ditahan dan mengaku terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak tujuh bulan lepas.
Menurut suspek lagi, bekalan dadah diperoleh daripada seorang lelaki warga tempatan.
Suspek kini ditahan di Balai Polis Siburan dan direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Kuching untuk melengkapkan siasatan dengan mendapatkan maklumat lanjut daripada suspek dan mengesan dari mana bekalan dadah akan diusahakan.