Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
COVID-19 : 14 kes hari ini, tiada kematian direkodkan di Sarawak
Gambar fail menunjukkan jururawat bertugas melaksanakan PICK di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Perpaduan pada Jun 2021. foto: BERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sarawak buktikan, negeri lain juga mampu

ByFirdaus Ismail

Semalam, seluruh rakyat negara ini bagaikan ‘berpesta’ meraikan kejayaan Datuk Azizulhasni Awang menghadiahkan pingat perak kepada negara dalam acara keirin sukan Olimpik Tokyo sebelum temasya berkenaan melabuhkan tirai.

Ucapan tahniah dan keterujaan rakyat Malaysia, bermula daripada Perdana Menteri hinggalah rakyat biasa dapat dilihat memenuhi ruang media sosial. Meriah!

Begitu jelas ‘peperangan sukan’ telah menghadirkan semangat bersatu padu yang luar biasa di kalangan rakyat, dari Perlis hinggalah ke Sabah.

Begitupun, mood gembira rakyat itu tidak lama, apabila menjelang petang, kita dikejutkan dengan perkembangan yang mengusarkan apabila kes kematian COVID-19 di negara ini mencecah 360 orang, iaitu rekod tertinggi sejak pandemik ini melanda Malaysia.

Saban hari, jumlah kes baharu yang dicatatkan juga masih tinggi sehingga menjadikan Malaysia sebagai antara negara paling teruk terjejas jika diukur berdasarkan jumlah penduduk.

Dalam soal ini, kita sebenarnya masih belum tewas kerana perkembangan program vaksinasi yang bermula pada Februari lalu mula membuahkan hasil memberangsangkan di beberapa negeri.

Penulis ingin memberi contoh bagaimana Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK telah memberikan sinar harapan di Sarawak. Data dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kadar kematian pesakit COVID-19 di Bumi Kenyalang mula menunjukkan trend penurunan yang ketara.

Semalam, tiada kematian dicatatkan di Sarawak berbanding hanya satu pada 7 Ogos, sifar kematian (6 Ogos) dan dua kematian pada 5 Ogos.

Selain itu, jumlah kemasukan pesakit kritikal di wad juga berkurangan di Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, satu lagi kawasan yang sebelum ini teruk dibadai varian Delta.

Apakah rahsianya? Sebenarnya ia bukanlah ‘rahsia besar’ kerana dua wilayah di Malaysia Timur ini telah melaksanakan kadar vaksinasi yang sangat aktif, jauh mengatasi purata kebangsaan.

Mengikut rekod Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV), sehingga semalam, Sarawak berada di tempat kedua sebagai negeri yang mana jumlah penduduk dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin iaitu berada pada kadar 87.4 peratus. Jumlah penduduk kategori sama yang telah melengkapkan suntikan pelalian berkenaan pula telah mencapai 74.4 peratus.

Ini mewakili sebanyak 1,784 784 juta rakyat Sarawak menerima suntikan pertama manakala jumlah yang lengkap divaksin mencecah 1,519 444 juta orang.

Sarawak sebagai negeri terbesar di Malaysia sebelum ini sering dikaitkan sebagai kawasan yang serba kekurangan terutamanya aspek kemudahan infrastruktur seperti jalan raya sehingga menyukarkan untuk masuk ke kawasan pedalaman selain kemudahan telekomunikasi yang dikatakan terbatas.

Bagaimanapun, semua kekurangan itu tidak menjadi halangan kepada rakyat negeri ini untuk menyahut seruan  menjayakan PICK dalam usaha menamatkan pandemik maut ini.

Rakyat Sarawak mencatatkan pendaftaran vaksin yang tinggi iaitu mencecah 88 peratus. Bukan bertujuan untuk membanding – bandingkan, namun jumlah pendaftaran di Sarawak jauh mengatasi negeri lain seperti Pahang, Kelantan, Perak, Terengganu, Kedah dan Sabah ketika ini.

Kita dapat melihat bahawa kerjasama di antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan untuk memberikan suntikan vaksin kepada rakyat negeri ini di 91 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dapat dikoordinasikan dengan jayanya.

Berbalik kepada soal peperangan melawan pandemik COVID-19, Malaysia sekali lagi memerlukan kerjasama erat rakyatnya , sama seperti kita menyokong ahli sukan yang membawa cabaran negara.

Sehubungan itu, kita memerlukan kesemua negeri mencatatkan kadar vaksinasi yang tinggi kerana sekiranya sektor ekonomi kembali dibuka kelak, kesemua negeri ini bergantung antara satu sama lain untuk memulihkan keadaan ekonomi masing – masing yang terjejas teruk terutamanya membabitkan sektor pelancongan domestik. Tidak ada gunanya jika hanya satu atau dua negeri yang mempunyai kadar vaksinasi tinggi.

Semoga inisiatif Sarawak memvaksin rakyatnya mampu memberi semangat kepada negeri- negeri lain untuk lebih agresif dalam PICK sekaligus menyelamatkan Malaysia daripada gelombang berpanjangan COVID-19. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan