PUTRAJAYA, 8 Ogos — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan berhubung kaedah pelaksanaan pengubahsuaian van pelancong sebagai ambulans bagi membantu kes kecemasan COVID-19.
Menyambut baik inisiatif yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat, Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata inisiatif itu juga sedang diperhalusi dari aspek teknikal bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Inisiatif ini juga membantu pengusaha van pelancongan yang terkesan akibat kawalan pergerakan ketika ini yang tidak membenarkan aktiviti rentas negeri, sehingga menyebabkan industri pelancongan terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Jumaat, Ismail Sabri berkata kira-kira 100 van pelancong akan diubah suai menjadi ambulans bagi membantu kes-kes kecemasan membabitkan COVID-19 terutama di Lembah Klang.
Menurut Ismail Sabri, langkah yang dirancang di bawah Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley itu adalah susulan situasi semasa pandemik COVID-19 negara, selain aduan kelewatan ambulans untuk mengambil pesakit di rumah yang mengalami situasi seperti sesak nafas dan memerlukan rawatan segera.
Nancy berkata MOTAC juga akan merujuk dengan pihak persatuan van pelancong bagi melihat kriteria yang menepati spesifikasi bersesuaian dengan keperluan APAD bagi tujuan pelaksanaannya.
Menurutnya, permit van pelancongan bagi Semenanjung Malaysia adalah di bawah bidang kuasa APAD dan sebarang urusan yang melibatkan pengubahsuaian adalah tertakluk kepada kelulusan agensi itu.
Bagi Sabah, Sarawak dan Labuan pula, permit kenderaan pelancongan dikeluarkan oleh MOTAC di bawah Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 (Akta 594).
Nancy berkata permit APAD hanya dikeluarkan untuk pengusaha van pelancongan yang merupakan syarikat agensi pelancongan yang dilesenkan Kementerian di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.
— BERNAMA