MARUDI, 9 OGOS: Seorang pekerja kapal yang terjatuh dari kapal di Sungai Baram pada Ahad, ditemukan lemas oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pagi tadi (Isnin).
Mangsa dikenali sebagai Rajan Ranjesh, 29, seorang warganegara India, ditemukan sekitar jam 9:30 pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Marudi, Maureen Sim, mayat mangsa ditemukan terapung kira-kira 100m dari lokasinya dilaporkan terjatuh.
Mayat mangsa dibawa ke pengkalan pekan Marudi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pada Ahad, Rajan dilaporkan terjatuh ke sungai, dan rakan sekerjanya yang menyaksikan kejadian itu mendakwa ia berlaku ketika mangsa sedang membuang air kecil dari kapal.