SHAH ALAM, 8 Ogos — Polis menahan seorang lelaki warga India bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita warga emas di Taman Seri Muda, Seksyen 25 di sini, bulan lepas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata suspek berumur sekitar 60-an itu ditahan oleh anggota cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada kira-kira 9 pagi tadi di Jalan Batu 8 Bukit Kemuning Seksyen 25, di sini.
“Lelaki itu akan direman 10 pagi esok di Mahkamah Shah Alam bagi membantu siasatan kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu Baharudin berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat seorang wanita tempatan berusia lingkungan 60-an yang cedera di muka dan kepala di belakang deretan kedai di Taman Seri Muda pada 7.06 pagi, 26 Julai lepas.
Menurut beliau hasil semakan rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian, polis mengenal pasti seorang lelaki disyaki warga India yang dipercayai boleh membantu siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
— BERNAMA