Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Kebenaran aktiviti pelancongan kepada individu lengkap vaksinasi bakal rancakkan kembali industri

KUALA LUMPUR, 8 Ogos — Kebenaran aktiviti pelancongan dalam negeri kepada individu yang lengkap dua dos vaksinasi COVID-19 di negeri-negeri dalam Fasa Dua dan Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dapat merancakkan kembali industri pelancongan yang sudah lama terhenti akibat pandemik COVID-19.

Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Datuk Mohd Khalid Harun berkata pembukaan semula industri pelancongan domestik adalah penting untuk mengimbangi semula kesemua kerugian sekali gus dapat meningkatkan pendapatan masyarakat tempatan dalam bidang terbabit.

Beliau berkata ia sudah tentu menjadi berita yang amat menggembirakan ahli persatuan terutamanya hotel dan inap desa untuk kembali membuka perniagaan. 

“MATA ingin menyarankan kepada semua ahli untuk memastikan semua pekerja mereka sudah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 dan ia mesti melepasi tempoh matang mengikut vaksin-vaksin seperti yang dinyatakan dalam pengumuman khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

“MATA berharap agar semua ahli hendaklah memastikan setiap pengunjung dan pekerja mereka mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pelancongan Negara Dr Fathir Badri Alhadad berkata pengumuman kemudahan tersebut melegakan industri pelancongan negara dan menunjukkan kesiapsiagaan kerajaan untuk menuju ke arah menjayakan pelan tersebut.

Beliau berkata pembukaan sektor pelancongan secara terkawal itu akan dapat membantu menggerakkan ekonomi setempat yang telah mengalami kemurungan sejak Mac tahun lepas.

“Negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah, Perlis, Sarawak dan Labuan pastinya akan mula membuka sektor ekonomi mereka dan hotel-hotel serta inap desa di negeri-negeri itu juga akan mula dibuka yang pastinya akan menyemarakkan kembali sektor pelancongan mereka.

“Sehubungan itu, kami memohon agar semua pengusaha sektor pelancongan untuk sentiasa cakna dengan SOP terkini supaya industri pelancongan akan dapat digerakkan semula dengan segera,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Selangor (SAFTTA) berkata kelonggaran itu juga pasti akan menggalakkan segenap rakyat untuk sentiasa mematuhi SOP sekali gus menggalakkan mereka mendapatkan suntikan vaksin dengan segera.

Muhyiddin hari ini mengumumkan beberapa kelonggaran termasuk kebenaran aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan inap desa dan hotel untuk mereka yang menetap di negeri di dalam Fasa Dua PPN dan seterusnya, berkuat kuasa Selasa ini.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan