KUCHING, 6 OGOS: Warga emas yang ditemui selamat selepas dilaporkan hilang di hutan semasa mencari durian telah disahkan positif Covid-19.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, Khirudin Drahman yang mengesahkan perkara tersebut berkata seluruh pasukan misi mencari dan menyelamat kini sedang menjalani kuarantin selama tujuh hari sementara menunggu ujian calitan Covid-19.
“Ini ekoran keseluruhan pasukan mempunyai kontak rapat dengan mangsa.
“Jadi semua program terpaksa ditangguhkan buat sementara,” katanya kepada TVS hari ini.
Semalam, TVS melaporkan tentang kejayaan penemuan lelaki berusia 76 tahun tersebut selepas hilang seharian ketika mencari durian di hutan berdekatan Kampung Mayang Mawang, Serian sejak Rabu.
Daya dilaporkan telah pergi ke kebun mencari durian pada tengahari Rabu namun disedari masih belum pulang kira-kira pukul 8 malam sebelum anggota keluarganya membuat panggilan kecemasan dan ditemui pada tengahari Khamis oleh pasukan mencari dan penyelamat.