KUALA LUMPUR, 6 Ogos: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan keputusan beliau dan beberapa Menteri dari parti itu dan Barisan Nasional (BN) tidak ‘meninggalkan’ Kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti yang diarahkan oleh pimpinan parti ialah kerana mereka menjunjung titah Yang Di-pertuan Agong .
Katanya, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya kerajaan hari ini meneruskan pentadbiran dan usul percaya dibentangkan di Parlimen untuk menentukan keabsahan kerajaan.
Jelas Timbalan Perdana Menteri, sekiranya beliau dan Ahli Parlimen UMNO dan BN yang lain bertindak meruntuhkan kerajaan dengan menarik sokongan kepada kerajaan PN, ini bermaksud mereka merupakan kumpulan yang menggagalkan titah Seri Paduka.
“Tidak timbul isu Ahli Parlimen derhaka, yang derhaka ialah pihak yang langgar titah Agong supaya perkara ini (menentukan keabsahan kerajaan) dibawa ke Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Ahli – Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tampil untuk menyatakan sokongan kepada Kerajaan PN.
Antara yang hadir termasuklah Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap), Datuk Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Halimah Saddique (Kota Tinggi), Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu), Datuk Seri Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas), Datuk Mohd Salim Sharif ( Jempol), Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Datuk Hassan Ariffin (Rompin), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) , Datuk Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Datuk M.Saravanan (Tapah).
Mengulas lanjut, beliau berkata, tumpuan ketika ini ialah untuk terus membantu kerajaan menyelesaikan pandemik COVID-19 dan isu rakyat.
“Sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab terutamanya yang bergelar Menteri dan diberikan tugas untuk selesaikan isu COVID dan ekonomi, kita ahli parti yang setia, menjunjung objektif untuk berkhidmat kepada rakyat dan tidak akan lari dari tanggungjawab,”katanya.
Mengulas mengenai sokongan kepada PN, Ismail Sabri berkata, seramai 31 Ahli Parlimen telah membuat pendirian untuk menyokong namun 10 daripadanya tidak dapat hadir sidang media kerana terikat dengan tugasan masing – masing.
“Antara 10 orang berkenaan termasuklah Khairy Jamaluddin dan Datuk Dr. Adham Baba yang terlibat dengan mesyuarat berkaitan vaksin manakala Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula ketika ini berada di Tokyo, Jepun,” katanya. -TVS