KUALA LUMPUR, 6 Ogos — Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan mengakui meniti saat sukar menghadapi tekanan dalam hidupnya sebelum berlepas ke Sukan Olimpik Tokyo di Jepun.
Jurulatih kelahiran Indonesia itu mendedahkan masalah peribadi yang membelenggu dirinya telah menyebabkan beliau berada dalam tekanan sebelum menemani anak buahnya, Lee Zii Jia membawa cabaran negara di Tokyo.
“Perjalanan ke Olimpik Tokyo sangat sukar… Bapa saya di Indonesia dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke unit rawatan rapi.
“Anak perempuan saya juga dimasukkan ke hospital, saya terpaksa berkorban dan tidak boleh melawat anak saya kerana menjalani tempoh kuarantin sebelum ini,” katanya pada sidang media dalam talian hari ini.
Bukan itu sahaja, Hendrawan mengakui kejayaan Zii Jia menjuarai Kejuaraan All England 2021 Mac lepas telah menambah tekanan kepada dirinya dan barisan kejurulatihan lain bagi mempersiapkan pemain kelapan terbaik dunia itu untuk mencipta kejayaan di Sukan Olimpik Tokyo.
Zii Jia mencipta sensasi selepas muncul juara All England 2021 dengan menewaskan juara bertahan yang juga pemain nombor dua dunia dari Denmark, Viktor Axelsen, 30-29, 20-22, 21-9 dalam aksi final di Birmingham.
Susulan kejayaan All England 2021 itu, Zii Jia yang dilihat antara pencabar pingat di Tokyo terkandas di pusingan 16 terbaik selepas tewas kepada pemenang pingat emas Rio 2016, Chen Long dari China, 21-8, 19-21, 5-21 dalam saingan berlangsung di Musashino Forest Sport Plaza, baru-baru ini.
Sementara itu, Hendrawan yang juga pemenang pingat perak di Sydney 2000, menjangkakan tempoh mencabar bakal diharunginya untuk dua bulan berikut kerana perlu mempersiapkan Zii Jia berdepan dengan banyak kejohanan besar seperti Piala Thomas, Terbuka Indonesia 2021 dan Kejuaraan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
— BERNAMA