Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Harapan penduduk Long Urun untuk punyai klinik kesihatan bakal jadi kenyataan

BySteward Dawi

MURUM, 6 Ogos – Harapan penduduk Long Urun untuk mempunyai Klinik Kesihatan di sana bakal menjadi kenyataan apabila lokasi cadangan projek itu sudah dikenalpasti.

Pembinaan klinik kesihatan jenis 6 di kawasan itu akan memudahkan penduduk dari 20 buah rumah panjang yang terdiri daripada masyarakat Penan dan Kenyah dan kawasan ladang berdekatan mendapatkan perkhidmatan kesihatan tanpa perlu ke Sungai Asap atau bandar.

Ini sekaligus menjimatkan masa dan kos perjalanan mereka kerana hanya perlu ke klinik berdekatan sahaja.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon, ini merupakan pendekatan baharu iaitu menggunakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pihak swasta syarikat perladangan Urun Plantation Sdn Bhd untuk membina Klinik Kesihatan Long Urun.

“Sekarang kita menggunakan pendekatan baharu di mana pihak swasta atau ladang untuk membina bangunan klinik ini dan KKM akan memberi semua fasiliti dan perkhidmatan yang berkaitan.

“Ini merupakan satu kerjasama yang kita cuba wujudkan di antara pihak swasta dan KKM,” katanya ketika dihubungi pemberita TVS pada Jumaat.

Walau bagaimanapun, jelasnya tempoh perlaksanaan pembinaan projek itu belum dapat dipastikan kerana banyak proses yang perlu diselesaikan terlebih dahulu dan projek ini merupakan projek kerjasama CSR dengan pihak swasta.

“Langkah pertama yang kita lakukan ialah memastikan tapak projek termasuk luas tapak tersebut cukup dan semua pihak setuju seterusnya kita akan menjalankan “Land Acquisition” antara pihak kita bersama Jabatan Tanah dan Tinjauan Bahagian Kapit Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap, Pejabat Kesihatan Bahagian Kapit dan wakil dari syarikat perladangan Urun Plantation Sdn Bhd serta wakil Ketua Kaum,” jelasnya lagi.

Tambah Kennedy, selepas proses itu dilaksanakan proses menandatangani satu perjanjian atau Memorandum of Agreement (MOA) di antara KKM dan pihak swasta yang menjalankan CSR tersebut.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya klinik kesihatan jenis 6 dibina yang merangkumi kompenan seperti klinik ibu dan anak, klinik pesakit luar, rawatan kecemasan, makmal perubatan, farmasi, pentadbiran, kemudahan awam, rumah pelawat dan kuarters pekerja kesihatan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, masih ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu termasuk isu lokasi dan tapak untuk projek tersebut.


Sebelum ini, cadangan pembinaan Klinik Kesihatan ini telah diajukan kepada Timbalan Menteri II Kesihatan Malaysia, Datuk Aaron Aro Dagang semasa lawatan beliau ke Klinik Kesihatan Sg. Asap dan Tubau pada 14 Julai 2021.8.6.


Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak melalui Timbalan Pengarahnya telah memberi lampu hijau “Green Light” untuk berusaha membina Klinik Kesihatan ini secara kerjasama dengan pihak swasta sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka bagi mempercepatkan proses pembinaannya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan