KUALA LUMPUR 6 Ogos: Penyanyi Siti Sarah Raisuddin yang sedang hamil tujuh bulan dan disahkan positif COVID-19 pada 27 Julai lalu terpaksa ditidurkan sebelum menjalani pembedahan di Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut suaminya, pelawak Shuib Sepahtu, pembedahan berkenaan terpaksa dilakukan untuk mengeluarkan bayi mereka.
“ Sekejap lagi, lebih kurang pukul 2 lebih, Sarah akan menjalani pembedahan. Saya mohon terus doakan Sarah, semoga pembedahan tersebut dapat dijalankan dengan baik. Terima kasih semua,” katanya menerusi laman Instagramnya tengah hari tadi.
Semalam penyanyi yang berusia 36 tahun itu terpaksa dibawa ke hospital berikutan tahap oksigennya yang tidak stabil.
Siti Sarah yang popular dengan lagu Kesetiaan juga memohon orang ramai mendoakan keselamatannya dan bayi.
“Terima kasih semua”, tulis Sarah sambil berkongsi video dia memeluk anak-anaknya sebelum pergi ke hospital.
Sehingga pukul 6 petang ini, masih tiada perkembangan terbaharu mengenai pembedahan berkenaan namun syarikat rakamannya , Indigital Music mengesahkan bacaan oksigennya semakin baik sebelum pembedahan.
Kemaskini: Siti Sarah kritikal, bayi selamat lahir secara bedah