Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Bitcoin: Polis tahan empat lelaki, bongkar tujuh rumah kedai curi elektrik

BUKIT MERTAJAM, 6 Ogos — Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket perlombongan mata wang bitcoin dengan membuat sambungan elektrik secara haram dan menahan empat lelaki dalam tujuh serbuan di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) serta Seberang Perai Selatan (SPS), semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Mohd Ra’ais berkata dalam siri serbuan bermula pukul 5 pagi itu, polis menahan empat lelaki itu yang berumur 24 hingga 53 tahun hasil maklumat dan risikan dijalankan pihaknya sejak seminggu lepas.

“Polis menyerbu enam rumah kedai di SPT, sebuah di SPS dan mendapati kesemua premis tersebut dijadikan lokasi sindiket menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin menggunakan bekalan elektrik secara haram sejak beberapa bulan lepas.

“Dalam siri serbuan itu, polis merampas 378 mesin melombong mata wang Bitcoin, 21 unit modem, lima buah CPU, sebuah komputer riba dan pelbagai jenis kotak kabel serta kotak fius yang digunakan untuk mencuri bekalan elektrik. Semuanya bernilai RM250,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata operasi itu turut disertai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pemeriksaan mendapati kabel elektrik di semua premis yang diserbu tersebut telah diubah suai untuk mencuri bekalan elektrik.

Rahimi berkata tindakan sindiket tersebut mencuri bekalan elektrik untuk menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin itu telah menyebabkan pihak TNB kerugian ratusan ribu ringgit setiap bulan.

Katanya, sindiket itu dipercayai mampu mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit setiap bulan dan polis kini sedang mengesan beberapa lagi rangkaian mereka untuk siasatan lanjut.

“Kesemua empat lelaki yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan mereka kini direman bagi membantu siasatan. Kes tersebut disiasat menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat,” katanya.

Menurutnya, sindiket itu dipercayai menyewa premis-premis rumah kedai berkenaan kononnya untuk menjalankan perniagaaan namun bunyi bising daripada premis tersebut menimbulkan curiga sehingga membawa kepada serbuan polis.

Beliau berkata pihak TNB turut mengambil tindakan segera dengan memotong bekalan elektrik di tujuh rumah kedai tersebut bagi memastikan sindiket itu tidak boleh beroperasi lagi.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan