SERIAN: Seorang lelaki warga emas yang hilang ketika mencari durian di hutan berdekatan Kampung Mayang Mawang, Serian sejak Rabu berjaya ditemui sebentar tadi (Khamis).
Difahamkan, pihak bomba dan penyelamat menerima panggilan mengenai mangsa yang dikhuatiri hilang kira-kira pada jam 9 semalam.
Mangsa yang berumur 76 tahun tersebut dilaporkan pergi ke kebun mencari durian pada tengahari semalam namun disedari masih belum pulang kira-kira pukul 8 malam sebelum anggota keluarganya membuat panggilan kecemasan.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Serian, James Gani, pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) yang memulakan pencarian 8.45 pagi hari ini menjumpai mangsa kira-kira dua jam kemudian dalam keadaan lemah dan tidak berbaju.