KUALA LUMPUR, 5 Ogos — Cabang teknologi pendidikan AirAsia Digital, Redbeat Academy melancarkan siri pembelajaran percuma dalam talian bagi individu yang berminat untuk mempelajari dan menambah baik diri dengan kemahiran baharu serta yang sering mengikuti pengetahuan terkini dan trend ekonomi digital.
Peserta yang berminat boleh mempelajari kursus yang relevan pada masa hadapan dengan menyertai sembilan kursus selama satu jam setiap kursus termasuk Pemasaran Digital, Analisis Data, Keselamatan Siber, Reka Bentuk pengalaman pengguna (UX) yang disediakan oleh tenaga pengajar yang pakar dalam bidang masing-masing bermula hari ini hingga 2 Sept, 2021.
Pengarah Strategi dan Inovasi Redbeat Academy Dr Ram Gopal berkata kursus-kursus itu dibina untuk menjadi lebih interaktif dan memberi peluang kepada individu untuk bertanya soalan semasa sesi pembelajaran dijalankan.
“Pemilihan topik-topik untuk kursus percuma ini telah diteliti oleh tenaga pengajar kami berdasarkan trend digital semasa dan relevan untuk semua peringkat umur, dan kami tidak sabar untuk mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai kursus pembelajaran secara percuma ini,” katanya dalam satu kenyataan.
“Kami mengalakkan mereka yang berminat untuk mempelajari atau menambah baik diri dengan kemahiran digital baharu untuk mendaftar kursus percuma ini, kerana mereka bukan sahaja dapat belajar sesuatu yang baharu untuk diri sendiri tetapi juga membuka peluang baharu pada masa hadapan,” jelas beliau.
Peserta yang berminat boleh mendaftar di laman web Redbeat Academy.
— BERNAMA